Entri bertarikh
10 Jun dah tidak sahih lagi.
Malam ini aku nak cerita. Urban Legend terbaru melanda sekitar kawasan Kuala Lumpur. Siapa sangka tempat yang hip dan menarik takde benda-benda kita tidak nampak tapi ia wujud dan kita kena percaya kewujudannya.
Bismillahirrahmanirrahim,
kisah benar pengalaman seorang kawan kepada kawan aku yang diceritakan oleh kawan aku.
Alkisah, tersebutlah kisah, maka dikisahkan. Empat orang wanita. Mereka bosan. Lalu keluarlah mereka kesalah sebuah gedung membeli belah yang terkemuka di Kuala Lumpur. Salah seorang dari mereka terasa mahu mengeringkan tekak. Yang lain pun bersetuju. Menujulah mereka ke Pusat Latihan Nyanyian atau dengan kata singkat, Pusat Karaoke.
Menyanyilah mereka berempat dengan lantang. Adat berkaraoke, masing-masing punya kelebihan tersendiri. Ada yang bersuara lunak dan ada yang tidak. Ada yang menyanyi ikut tempo dan ada yang menyanyi ikut suka. Ada yang suka lagu lama dan ada yang suka lagu baru dan ada juga yang suka semua lagu.
Setelah kering tekak mereka berempat, mereka mengambil keputusan untuk menamatkan sesi latihan vokal mereka di Pusat Karaoke tersebut. Mereka terus ke kaunter untuk membuat bayaran. Akan tetapi mereka terkejut bila melihatkan bil. Mereka dikenakan bayaran untuk lima orang. Jantung masing-masing berdegup pantas. Setelah puas bertekak dengan pengurus, mereka dibawa melihat rakaman di bilik Televisyen Litar Tertutup atau CCTV.
"Siapa tu?" tanya pengurus. "Entah...kami tak kenal....kami memang berempat je." jawab salah seorang dari mereka. Pengurus itu tidak percaya lalu mengajak mereka berempat ke bilik karaoke tersebut, akan tetapi mereka berempat menolak ajakan pengurus itu. Pengurus itu dengan tiba-tiba faham akan keadaan mereka dan melepaskan mereka. Katanya, "Dah banyak kali jugak la jadik macam ni..."
Anda suka karaoke?